Majlis Peluncuran Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026–2035
𝐌𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐏𝐞𝐥𝐮𝐧𝐜𝐮𝐫𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐬𝐚𝐫 𝐏𝐞𝐫𝐮𝐦𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚 (𝐃𝐑𝐍) 𝟐𝟎𝟐𝟔–𝟐𝟎𝟑𝟓
KLGCC Convenstion Center, Kuala Lumpur | 10 Ogos 2026 – Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) terus memperkukuh komitmen dalam memastikan agenda pembangunan perumahan Negeri Perak bergerak seiring dengan aspirasi nasional menerusi penyertaan ke Majlis Peluncuran Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026–2035.
Majlis peluncuran telah disempurnakan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta turut dihadiri YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara; YBhg. Datuk Wira Dr. M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; YBhg. Dato' Seri Azmir Merican, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property, ketua-ketua jabatan dan agensi Persekutuan serta Negeri, serta wakil-wakil PBT, pemain industri, profesional dan ahli akademik. Pada majlis peluncuran tersebut, Puan Zaiteena binti Wan Nasir, Ketua Pegawai Eksekutif LPHP bersama En. Sayed Muhammad Qusyairi bin Sayed Shariffuddin, Pegawai Eksekutif, Unit Dasar dan Kawalan Perumahan LPHP telah hadir mewakili LPHP bagi bersama-sama menyaksikan peluncuran dasar penting yang bakal menjadi landasan utama dalam mencorakkan hala tuju pembangunan sektor perumahan negara bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.
Kehadiran LPHP ke majlis ini turut mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memastikan perancangan, pembangunan serta pelaksanaan agenda perumahan di Negeri Perak sentiasa bergerak seiring dengan aspirasi dan kerangka dasar di peringkat nasional. Menerusi Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026–2035, pendekatan pembangunan perumahan akan terus diperkasakan dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek penyediaan dan kemampuan memiliki kediaman, malah merangkumi kualiti perumahan, kesesuaian lokasi serta pembentukan persekitaran kejiranan yang selamat, inklusif, mampan dan berdaya huni.
Selaras dengan aspirasi tersebut, LPHP akan terus memainkan peranan strategik dalam menterjemahkan hala tuju DRN 2026–2035 mengikut keperluan dan landskap perumahan Negeri Perak, sekali gus memperkukuh usaha menyediakan ekosistem perumahan yang lebih mampan, berkualiti dan memenuhi keperluan rakyat.
- Hits: 81


